Apakah Mengira Itu Dianggap Berkira? - Islam Is Great

Islam Information for all muslim in world. As a muslim we must share a knowledge to all

Rabu, 3 Januari 2018

Apakah Mengira Itu Dianggap Berkira?

Apakah Mengira Itu Dianggap Berkira?
| Apakah Mengira Itu Dianggap Berkira? |
Seorang sahabat mengatakan "dulu aku selalu pakai tasbih digital untuk berzikir. Bila ada ustaz tegur 'jangan berkira dengan Allah bila berzikir' terus aku tak guna dah".
Persoalan yang timbul, apakah mengira ngira zikir yang kita lafazkan dengan menggunakan jari atau apa jua bentuk peralatan itu dianggap "berkira" dengan Allah?
⚫ Orang Beriman Sentiasa Ada Sasaran
Orang yang beriman akan sentiasa menyusun atur kehidupannya untuk mencapai setiap sasaran yang telah ditetapkan.
Apa kalian tahu berapakah zikir yang menjadi sasaran bagi setiap orang yang beriman itu dalam sehari?
Sudah pastinya ia berbeza beza mengikut kemampuan masing masing. Jika kita melihat hadith, Rasulullah SAW beristighfar tidak kurang daripada 70 kali dalam sehari. Bagaimana boleh kita mengetahui jumlahnya 70 kali? Sudah pastinya ia dikira oleh Rasulullah SAW dan diberitahu kepada para sahabat untuk diamalkan.
Apakah Rasulullah SAW mengira istighfarnya itu dikatakan dia sebagai "berkira" dengan Allah? Sudah pastilah jawapannya tidak!
Selepas solat, kita disunatkan untuk bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali. Bagaimana kita ingin mengetahui sudahkah kita melafazkannya sebanyak 99 (jumlah keseluruhan) jika tidak menggunakan jari atau tasbih untuk mengira? Apakah kita disifatkan sebagai "berkira" dengan Allah? Tidak bukan!
Jika seorang yang beriman meletakkan sasaran untuk beristighfar sebanyak 1,000 kali dalam sehari, apakah dia mampu menentukan jumlah yang mencukupi sasarannya dalam sehari jika dia tidak mengira? Apakah ketika dia mengira itu dianggap sebagai "berkira" dengan Allah? Janganlah begitu sempit pemikiran itu.
⚫ Berkira Itu Sinonimnya Digunapakai Kerana Bakhil
Bukankah begitu? Kita menggunakan perkataan "berkira" kerana kita mengatakan kepada seseorang yang dilihat sebagai bakhil dalam melaksanakan sesuatu perkara.
Dalam pelbagai urusan seperti jual beli, tolong menolong, berinfaq dan banyak lagi kita menggunakan perkataan "berkira" jika terzahir pada pandangan mata kita seseorang itu keberatan dan memberi pelbagai alasan sepertinya tidak sepenuh hati melaksanakan perkara tertentu.
Tetapi apakah kerana kita menggerakkan jari jemari, biji biji tasbih dan menekan nekan tasbih digital ketika berzikir mengingati Allah itu sebagai "berkira" dengan Allah? Amatlah tidak wajar sekali dakwaan seperti ini.
⚫ Liciknya Syaitan Menjalankan Tipu Dayanya
Tipu daya syaitan itu sangat halus dan licik sekali. Jika dia tidak mampu untuk menghalang seseorang daripada berzikir mengingati Allah, maka dia datang dengan idea yang lain pula seperti memperlihatkan orang yang berzikir dengan mengira jumlah zikirnya sebagai "berkira" dengan Allah.
Atau syaitan datang dengan tipu daya terhadap berzikir menggunakan tasbih atau tasbih digital adalah perkara bid'ah yang menyebabkan umat islam berselisih mengenainya dan berakhir dengan umat manusia yang tidak berzikir kerana sibuk mempertahankan pendapat masing masing.
Alangkah ruginya jika kita tidak berhati hati dan memperturuti tipu daya syaitan!
⚫ Kesimpulan
Allah berfirman :
وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)" [Surat Al-Jumu'ah 10]
Allah memerintahkan kita agar sentiasa memperbanyakkan mengingatiNya supaya kita menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat.
Maka ambillah apa jua cara sekalipun yang tidak bertentangan dengan syariat islam ketika kita mengingati Allah dan jangan sekali kali kita meninggalkannya.
#AkhiAdifGorment
03 January 2018

Tiada ulasan: