Islam Information

Post Top Ad

KE MANA INGATAN KITA SEMASA KESUSAHAN?

KE MANA INGATAN KITA SEMASA KESUSAHAN?
Copy dari Facebook Dr Maza

KE MANA INGATAN KITA SEMASA KESUSAHAN?

Apabila insan ditimpa derita, dikepung oleh sengsara, dihambat oleh duka, dia akan berusaha mencari tempat bergantung. Mencari dahan berpaut. Mencari teduhan untuk berlindung. Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba; kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?

Bagi jiwa insan yang renggang dari Tuhan, jiwa yang hambar dari kemanisan iman dan hubungan ruhi dengan ilahi, dia akan terus terbayang penolong itu temannya ada kelebihan atau orang besar, atau orang berharta, atau orang berkebolehan yang dia rasa dapat membantunya. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang boleh dia dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Demikian seterusnya. 

Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk. Bergantung dengan yang lemah sepertinya, kerana dia sangka itu teguh. Berpaut pada yang rapuh, kerana dia sangka kukuh. Lalu Allah pun membiarkannya bersama dunianya yang goyah dan harapan sentiasa terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang dipercayai. Dia alpa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama, Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang sangat lemah. 

Allah mengingatkan manusia tentang sesiapa yang menyeru dan bergantung kepada selain Allah ini dengan firmanNya:

(maksudnya) “Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahnya yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahnya yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).
Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan pertolongan dengan ungkapan ‘lemahnya yang meminta dan lemahnya yang dipinta’.
Catat Ulasan